Kuota VTL: Kerajaan tunggu keputusan Singapura


  • Primer
  • Sabtu, 22 Jan 2022

SEBUAH bas meninggalkan Terminas Bas Larkin, Johor untuk menuju ke Singapura menerusi VTL pada Jumaat. — The Star

KERAJAAN sedia menerima penambahan kouta Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat sekiranya Singapura bersetuju meningkatkan bilangan kapasiti terbabit.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan sama ada melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) amat memahami keperluan pengembara, lebih-lebih lagi apabila tibanya musim perayaan.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini Malaysia menerima keputusan yang telah ditetapkan Singapura termasuk pengurangan kuota sebanyak 50 peratus VTL berkenaan, yang diputuskan setelah melalui rundingan pihak berkuasa berkaitan terutamanya Kementerian Kesihatan kedua-dua negara.

"Segala keputusan berkenaan dengan VTL ini diserahkan kepada agensi kesihatan untuk menentukan sama ada kapasiti semasa perlu ditambah atau sebaliknya.

"Permintaan dan permohonan VTL beribu, tapi kita akan ikhtiarkan, namun sebagai kerajaan kita akan lihat keperluannya... bukan tak nak perjuangkan tapi jika ada keperluan kita tambah " katanya dalam sidang media selepas Perasmian Program Keselamatan Jalan Raya MIROS, di Dewan Muafakat Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor pada Sabtu.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Ketua Pengarah Miros, Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim; dan Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Haniff Ahmad.

Ka Siong turut mengingatkan semua pengembara supaya memohon permit sebelum dan selepas membeli tiket bagi dapat menggunakan inisiatif VTL ini.

Pada Jumaat, kedua-dua kerajaan membenarkan semula penjualan tiket VTL udara tetapi dengan kapasiti 50 peratus. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram