Jualan tiket bas, kapal terbang laluan VTL digantung sementara — Khairy


  • Primer
  • Rabu, 22 Dis 2021

PENGEMBARA yang telahpun memiliki tiket perjalanan serta memenuhi syarat ditetapkan bagaimanapun boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif VTL. — Gambar hiasan/ The Star

PENJUALAN tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura melalui laluan udara dan darat, digantung sementara berkuat kuasa sepanjang tempoh 23 Disember 2021 sehingga 20 Januari 2022.

Penggantungan sementara itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini yang dilaporkan oleh Singapura berhubung kejadian satu kluster tempatan Covid-19 melibatkan tiga kes positif dengan dua daripadanya berkemungkinan varian Omicron.

Ketiga-tiga kes tersebut tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL itu akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.

"Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Khairy berkata, bagi pengembara yang telahpun memiliki tiket perjalanan bagi VTL darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, mereka boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif VTL.

Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung arahan terkini bagi penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif VTL udara dan darat antara Malaysia-Singapura boleh dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (VTL Udara) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (VTL Darat).

"Kementerian Kesihatan ingin menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta SOP yang telah ditetapkan.

"Lakukan ujian pengesan Covid-19 kendiri secara berkala bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram