Azam Baki perlu ambil cuti — JKMR


  • 112
  • Jumaat, 14 Jan 2022

AZAM terpalit kontroversi pemilikan saham Gets Global Bhd dan Excel Force MSC Bhd. — The Star

JAWATANKUASA Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berpendapat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu mengambil cuti, ketika kes pemilikan saham beliau disiasat pihak berkuasa.

Pengerusinya, Tan Sri Rais Yatim berkata, mengikut amalan biasa, mereka yang disiasat atas kes salah laku akan digantung kerja, namun terdapat juga kes individu berjawatan lebih tinggi yang disiasat, tetapi tidak direhatkan.

"Dalam hal ini, fakta berkaitan Azam bukan kriminal atau perbuatan jenayah tetapi mungkin salah laku atau tidak dapat menyempurnakan tugas.

"Justeru pandangan kami (JKMR) juga ialah beliau (Azam) mengambil cuti sebentar (sementara) dan biar pihak bertanggungjawab menjalankan tugas mereka.

"Terserah kepada SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) untuk beri cuti atau tidak, tapi harus mengambil natijah amalan yang sedang berlaku melibatkan kes berprofil tinggi, dan mereka (individu disiasat) tidak mengambil cuti," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Jumaat.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, JKMR turut berpendirian isu perisytiharan harta Azam Baki perlu menjadi perkara utama dalam siasatan yang sedang berjalan ketika ini.

Azam sebelum ini terpalit dengan kontroversi melibatkan pemilikan sejumlah saham Gets Global Bhd dan Excel Force MSC Bhd antara tahun 2015 dan 2016 semasa beliau menjadi Pengarah Penyiasatan SPRM. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram