SURUHANJAYA Sekuriti (SC) telah membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
SC dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa Azam ialah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan tersebut.
"Bukti juga menunjukkan bahawa Azam mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun tersebut," katanya pada Rabu.
SC berkata, pihaknya telah menamatkan inkuiri berkaitan dengan akaun dagangan Azam dan berdasarkan keterangan yang dikumpul ia tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA.
Sebagai pengawal selia pasaran modal, SC berkata, bidang kuasa kawal selianya adalah sebagaimana yang terkandung di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).
Suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan media tersebut sebagai menjawab pertanyaan media yang diterima mengenai hasil siasatan SC di bawah seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan tersebut.
"Sehubungan dengan ini, siasatan tersebut adalah berkaitan dengan isu sama ada telah berlaku pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA.
"Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka di atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram