Didapati tidak bersalah, Azam Baki bersyukur


  • 112
  • Selasa, 18 Jan 2022

SURUHANJAYA Sekuriti sebelum ini mendapati Azam Baki tidak bersalah. — The Star

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki melahirkan rasa syukur selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendapatinya tidak bersalah terhadap isu pemilikan saham.

Menurut Azam, dia juga akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas ini.

"Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti yang telah mendapati tiada kesalahan yang dilakukan oleh saya.

"Saya telah dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan. Oleh yang demikian, pihak Suruhanjaya telah menutup fail inkuiri tersebut.

"Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, SC merumuskan bahawa berdasarkan siasatan, ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu kenyataan, hari ini, berkata SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram