Lepas menu sedih, tular kes keracunan makanan RMT


  • Tular
  • Jumaat, 21 Jan 2022

SEBAHAGIAN murid mangsa keracunan makanan RMT yang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

LEBIH 60 orang murid di sebuah sekolah rendah di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor dipercayai mengalami keracunan makanan selepas dikatakan makan menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan pihak sekolah dalam kejadian pada Khamis.

Seorang ibu mangsa yang enggan dinamakan mendakwa, kes keracunan makanan itu membabitkan murid tahun 1 hingga 6 serta murid program pendidikan khas integrasi (PPKI) yang terlibat program RMT sekolah tersebut.

"Kemungkinan adalah makanan RMT sebab majoriti murid di bawah program tersebut yang kena (keracunan).

"Mereka semua dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

"Ada lebih 40 aduan berkaitan kes keracunan makanan diterima semalam tapi saya percaya lebih kerana mungkin ada murid yang tidak laporkan kepada pihak sekolah," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah telah dimaklumkan dan punca sebenar masih dalam siasatan pihak berkenaan.

Sementara itu, bapa kepada salah seorang murid mendakwa dua orang anaknya masing-masing di tahun 5 dan tahun 6 sekolah tersebut terpaksa menerima rawatan di Hospital Shah Alam susulan kejadian itu.

"Anak dapat menu RMT di kantin sekolah. Semalam muntah-muntah sampai lembik keadaan mereka," katanya.

Majoriti kini menunggu respons pihak Kementerian Pendidikan yang telah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram