Mahu poligami, pilih janda atau anak dara?


  • Mukmin
  • Rabu, 19 Jan 2022

DARI segi keutamaan, jika di hadapan seseorang lelaki itu ada pilihan antara seorang janda dan anak dara yang kedua-dua sama baik dari semua sudut, seorang lelaki itu perlu memilih anak dara.

SOAL jodoh itu rahsia ALLAH dan kita sebagai manusia hanya mampu menerimanya samada bakal pasangan itu berstatus duda, bujang, balu, dara dan janda.

Namun tidak dinafikan pasti terdapat halangan jika berkahwin dengan perbezaan status terutamanya lelaki yang ingin berkahwin dengan seorang janda seperti luahan seorang janda yang menceritakan percintaannya dihalang atas alasan status dirinya.

Wanita itu berkata, ahli keluarga itu menggunakan alasan agama kononnya agama tidak menyukai seseorang lelaki berkahwin dengan janda namun sejauh mana kebenaran alasan itu dalam Islam?

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman sesawangnya berkata, Islam tidak pernah memandang hina kepada golongan janda, malah isteri-isteri Rasullullah SAW hampir kesemuanya janda.

"Poligami yang dianjurkan oleh Islam juga antara kebaikannya membantu golongan janda yang kehilangan suami," kata Mufti Perlis itu.

Namun, dari segi keutamaan, jika di hadapan seseorang lelaki itu ada pilihan antara seorang janda dan anak dara yang kedua-dua sama baik dari semua sudut, seorang lelaki itu perlu memilih anak dara.

"Sabda Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ibn Majah dengan sanadnya yang hasan bermaksud: "Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Itu kerana mereka lebih baik perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih redha dengan yang sedikit." (al-Albani menilai sebagai hasan dalam al-Silsilah al-Sahihah).

"Maksud hadis itu ialah oleh kerana anak dara belum pernah bergaul dengan lelaki, maka biasanya sifat kasar mereka itu kurang. Peluang memperolehi anak lebih luas disebabkan biasanya mereka lebih muda atau tidak terdedah kepada masalah kelahiran sebelumnya yang mungkin menghalang mereka untuk terus melahirkan anak," kata Mohd Asri.

Mohd Asri berkata, tidak dinafikan juga dalam beberapa keadaan tertentu, janda lebih baik daripada anak dara terutamanya apabila seseorang janda itu mempunyai pegangan agama yang lebih kuat kerana agama boleh membawa kebahagiaan kepada sebuah rumah tangga.

"Juga ada kalanya janda lebih baik berdasarkan kepada hajat lelaki yang inginkan janda untuk kebaikan tertentu. Seperti dia ingin wanita yang lebih matang, atau janda berkenaan lebih dapat menjaga anak-anaknya disebabkan faktor-faktor tertentu.

"Seseorang juga wajar mengahwini janda untuk memberikan pertolongan kepadanya, seperti janda yang kehilangan suami dan tiada tempat bergantung. Itu terutama bagi janda yang berasal daripada keluarga bukan Islam atau negara yang jauh.

"Jika perkahwinan itu mempunyai hasrat menyelamatkan agama Islam, mengahwini janda adalah kebaikan. Sebagaimana baginda Nabi SAW juga mengahwini ramai janda demi menolong mereka," katanya.

Mufti Perlis itu menambah, Islam tidak pernah membenci dan memperlekehkan golongan janda dan jika janda itu beragama dan berakhlak mulia melebihi anak dara yang ada dalam pilihan seseorang lelaki, maka pilihlah janda itu.

"Jika dia ada pilihan yang kedua-duanya baik untuknya, maka ketika itu anak dara mempunyai kelebihan yang tersendiri. Anak dara dari sudut yang lain mungkin lebih menghargai kerana tiada pengalaman sebelumnya dan anak dara juga akan lebih cinta tanpa perbandingan kerana itulah satu-satunya suami yang dia miliki," ujar Mohd Asri. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram