KERAJAAN Sabah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pelabur bagi pelaksanaan tiga projek bernilai kira-kira RM4.3 bilion pada Selasa.
Pemeteraian dokumen itu disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dengan MoU pertama antara Yayasan Sabah dengan Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd bagi projek bandar raya dikenali sebagai Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM2 bilion.
Pembangunan di kawasan daratan seluas 30 ekar (12 hektar) bersebelahan Sabah International Convention Centre (SICC) dan dijangka siap dalam tempoh 10 tahun itu merangkumi pembinaan kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan, penginapan hotel mewah, lokasi peranginan serta aktiviti rekreasi.
Pada majlis itu Yayasan Sabah diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar manakala Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd diwakili oleh Pengarahnya, Jameson Pias.
MoU kedua pula dimeterai oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dan sebuah syarikat pelaburan China, SBH Kibing Solar New materials (M) Sdn Bhd (SBH Kibing) bagi melaksanakan projek pemprosesan pasir silika dan pengeluaran panel solar yang menelan perbelanjaan RM2 bilion dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.
Dokumen tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Tetap kementerian, Thomas Logijin manakala SBH Kibing diwakili oleh Presidennya, Lin Hai.
MoU ketiga membabitkan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah yang diwakili oleh Setiausaha Tetapnya, Datuk Mariana Tinggal dan Borneomed Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fauzi bagi projek Ladang Herba Bersepadu Sabah dengan pelaburan bernilai RM350 juta.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, Hajiji menyifatkan pemeteraian MoU itu sebagai petanda baik bagi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah.
"Projek berkenaan akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan saya difahamkan bahawa satu projek berkenaan mampu mewujudkan 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan.
"Ini membolehkan rakyat Sabah tidak perlu mencari kerja di tempat lain dengan ramai di antara mereka mencari kerja di Semenanjung khususnya di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Baharu,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram