Selepas Kemaman, penternak lembu di Kerteh pula bimbang serangan harimau


  • Massa
  • Isnin, 17 Jan 2022

PERHILITAN Terengganu memasang dua perangkap di Kampung Air Putih untuk menangkap harimau yang dipercayai berkeliaran di sekitar kawasan ladang sawit. — Gambar hiasan/Bernama

SELEPAS penduduk di Kampung Air Putih di Kemaman, Terengganu mendakwa haiwan ternakan mereka terancam kerana diserang harimau sejak Disember lalu, kini penternak lembu di Kampung Chabang, Kerteh pula dilanda kebimbangan sama.

Seorang penternak, Ramli Mohamad, 62, berkata, seekor daripada 25 lembunya ditemukan mati dipercayai dibaham harimau Jumaat lalu.

"Saya hanya menyedari perkara itu apabila pergi ke kebun untuk memberi lembu makan, namun pelik kerana seekor lembu betina berusia lebih setahun tiada di situ.

"Saya cari lembu itu di sekeliling kebun, kemudian saya jumpa bangkai lembu di kawasan alur sungai, dan yang paling mengejutkan kepalanya terpisah dari badan. Saya syak ini adalah serangan harimau kerana ada kesan koyakan di rahang lembu itu," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Ramli berkata, beliau turut menemui beberapa kesan tapak kaki, dipercayai harimau yang menyerang lembu itu di kebunnya dan telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, anggota Perhilitan memantau kawasan selepas menerima laporan mengenai perkara itu.

Empat hari lalu, Perhilitan Terengganu memasang dua perangkap di Kampung Air Putih untuk menangkap harimau yang dipercayai berkeliaran di sekitar kawasan ladang sawit dan membaham beberapa ternakan penduduk kampung berhampiran.

Serangan harimau terhadap haiwan ternakan sebelum ini sering berlaku di sekitar Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 di daerah Dungun bermula sejak 2019.

Pada Februari tahun lalu, seekor harimau belang jantan yang dinamakan 'Awang Rasau' berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3, diikuti seekor lagi harimau belang 'Atan Kerteh' yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lalu, namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu di sekitar hutan berhampiran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

harimau, serangan, Perhilitan, ternakan, lembu