Teknologi RFID didakwa 'belum matang'


  • Massa
  • Isnin, 17 Jan 2022

TRANSAKSI tol menggunakan RFID di lebuh raya PLUS bermula 15 Januari lalu dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. — Bernama

PELAKSANAAN transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari lalu.

Langkah itu dibuat oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol selain memenuhi kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.

Bagaimanapun, teknologi berkenaan dilihat tidak praktikal kepada para pengguna atas pelbagai faktor sehingga mengundang reaksi orang ramai.

Menurut seorang usahawan, Mohd Azrie Mat Nor, teknologi SmartTAG lebih matang dan terbukti berbanding RFID.

"Dari segi perniagaan, RFID ini bagus kerana menguntungkan syarikat pengeluar RFID kerana pengguna perlu beli banyak dan pelekat mudah rosak.

"Tapi adakah ia bagus untuk rakyat? Sebelum kita berubah secara 'total', patutnya perlu memastikan teknologi baharu itu matang dan ditukar secara berperingkat.

"Dari segi penjimatan, RFID hanya boleh digunakan pada satu kereta sahaja manakala SmartTAG boleh digunakan pada banyak kereta.

"Sepatutnya apa sahaja teknologi yang diperkenalkan mestilah memberi keuntungan kepada rakyat dan lebih baik berbanding teknologi sebelumnya," ujarnya..

Jelasnya, tidak salah menukar kepada RFID tetapi beliau merasakan SmartTAG masih relevan untuk digunakan kerana ia memberikan pilihan kepada para pengguna.

"Saya dah beli tiga kali pelekat RFID. Kali pertama beli, tampal di lampu dan dah cuba lalu di laluan RFID. Adakalanya okay dan adakalanya sangkut, bila nak ubah kedudukan pelekat dah tidak boleh kerana tanggal sahaja (pelekat) terus terkoyak.

"Kali kedua beli, saya pasang di bahagian cermin. Perkara sama berlaku bila lalu di laluan RFID menyebabkan saya terpaksa undurkan kereta banyak kali dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

"Pada satu hari, saya membasuh kereta dan pelekat RFID itu terbuka sedikit, menyebabkan ia tidak boleh dikesan oleh sistem, jadi saya beli pelekat baharu lagi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

RFID, tol, SmartTAG, sesak, lebuh raya