TINDAKAN luar jangkaan seorang lelaki yang dipercayai cuba terjun dari Sky Deck, Menara Kuala Lumpur, Bukit Nenas di ibu negara akhirnya berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba Kuala Lumpur.
Berdasarkan kenyataan di laman rasmi Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kejadian pada petang Ahad itu menyaksikan anggota bomba bertindak pantas dengan menangkap lelaki Cina yang berumur dalam lingkungan 20-an itu sebelum dia sempat terjun.
Ramai yang memuji dengan tindakan pantas anggota bomba itu kerana sempat menyelamatkan nyawa lelaki itu.
"Terbaik dan tahniah di atas kejayaan dan kehebatan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia kerana sudah berjaya menyelamatkan satu nyawa demi menyelamatkan nyawa orang lain sanggup mengambil risiko dan mempertaruhkan nyawa mereka sendiri hanya ALLAH saja yang mampu membalas kebaikan tuan-tuan semua," kata pengguna Facebook, Hatimin Ttr.
"Terima kasih bomba berjaya menyelamatkan nyawa yang dalam kebuntuan. Kebaikanmu dihargai. Moga diberkati kerjayamu," komen Sarinah Salleh.
Difahamkan, kejadian seperti itu pertama kali berlaku di bangunan ikonik yang berketinggian 300 meter tersebut.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 5.11 petang.
“Seramai 25 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba Dan Penyelamat Hang Tuah dan Pudu telah dikerah ke lokasi kejadian," jelas kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram