![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2022/01/15/1445268.jpg)
DATUK Seri M. Saravanan berkata, permohonan secara dalam talian bagi pengambilan pekerja asing seramai 32,000 orang untuk kuota sektor perladangan secara pengecualian khas akan dibuka semula mulai 28 Januari ini.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, permohonan pekerja asing bagi sektor-sektor lain yang dibenarkan, termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas pula akan mula dibuka pada 15 Februari.
"Majikan boleh membuat semua permohonan itu secara dalam talian menerusi laman web www.fwcms.com.my," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lepas, telah bersetuju bagi pengambilan pekerja asing dalam sektor yang dibenarkan untuk penggajian pekerja asing.
Pada masa sama, Saravanan turut mengingatkan semua majikan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk kemasukan pekerja asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"SOP ini merangkumi empat fasa iaitu prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pascakuarantin.
"Semua pekerja asing ini perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut, yang akan ditanggung oleh majikan,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin berada di Lembah Klang dengan kapasiti 10,000 orang pada satu-satu masa.
"Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin, dengan mematuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram