MARCOP tangani kekurangan pekerja asing sektor sawit


  • Bizz
  • Khamis, 18 Nov 2021

PERUNTUKAN keseluruhan MARCOP sebanyak RM60 juta digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pengkomersilan teknologi mekanisasi ladang kelapa sawit. — The Star

KONSORTIUM Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) yang dilancarkan pada Khamis, akan memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam satu kenyataan berkata, konsortium yang ditubuhkan bagi meningkatkan aktiviti penyelidikan bagi mekanisasi dan automasi perladangan sawit akan turut memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi seperti dron, robot serta sensor bagi operasi bersepadu dan sistematik.

"Konsortium ini sudah diberi mandat bagi mengembangkan teknologi dan inovasi melalui perkongsian kepakaran penyelidikan bersama pihak industri, teknokrat dan ahli akademik," katanya.

Dalam kenyataan sama, kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM30 juta melalui geran padanan dalam Bajet 2021 bagi menyokong aktiviti MARCOP, manakala pihak industri pula menyumbang RM30 juta melalui kutipan ses Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Peruntukan keseluruhan MARCOP sebanyak RM60 juta itu digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pengkomersilan teknologi mekanisasi ladang.

Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, juga menetapkan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun akan datang termasuk mengurangkan pengambilan pekerja asing berkemahiran rendah.

"Kerajaan juga telah menggariskan beberapa langkah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi termasuk menggalakkan industri bergerak ke arah automasi dan mekanisasi," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, industri sawit perlu menarik golongan muda malah wanita ke dalam sektor didominasi lelaki ini.

Kekurangan tenaga sumber kerja dan harga sawit yang kukuh ini katanya, adalah peluang terbaik untuk sektor ini berubah kepada model pengeluaran lebih mampan.

"Data Jabatan Perangkaan Malaysia tahun lalu menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh bagi wanita hanya 55.3 peratus sahaja berbanding lelaki iaitu 80.6 peratus, justeru usaha MARCOP ini diharap dapat menyumbang kepada hasrat kerajaan untuk mencapai kadar penyertaan tenaga kerja wanita.

"Semua pihak yang mempunyai kemahiran dengan syor dan idea bernas dalam bidang teknologi diminta berhubung dengan MARCOP bagi mendapatkan dana tersebut dan KPPK berharap MARCOP berjaya menyelesaikan masalah tenaga kerja dalam sektor perladangan secepat mungkin," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MARCOP, sawit, MOB, pekerja asing