
GERAKAN Hartal Doktor Kontrak berterima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, selepas doktor kontrak kini layak memohon latihan kepakaran di bawah tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).
Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata, doktor kontrak kini boleh mengikuti pengkhususan dalam minat dan bidang masing-masing di bawah HLP berikutan pengumuman itu, dalam satu kenyataan pada Sabtu.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan pasukan kerana menunaikan janji mereka.
“Khairy sememangnya telah membuktikan kecekalan dan kesungguhan beliau untuk menyelesaikan isu yang membelenggu doktor kontrak sejak lima tahun lalu.
"Kami berharap terma dan syarat untuk memohon HLP akan dihapuskan tidak lama lagi," katanya.
Kumpulan itu juga menyatakan keyakinan bahawa, Khairy akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah lain dihadapi doktor kontrak, sebagaimana dibincangkan dalam perjumpaan pada 21 September 2021.
Ia melibatkan isu seperti ketelusan dalam pemilihan kriteria doktor kontrak untuk diserap ke jawatan tetap selain isu keperluan untuk faedah sama seperti pegawai lantikan tetap termasuk promosi berdasarkan masa, cuti sakit dan faedah lain yang tidak tersedia untuk doktor kontrak pada masa ini.
Selain itu, timbul juga isu menawarkan jawatan tetap kepada doktor kontrak melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan meminda Akta Pencen.
“Kami yakin bahawa Khairy dan pasukannya akan menunaikan janji mereka demi kebaikan doktor muda dan sistem kesihatan Malaysia secara amnya,” tambahnya.
Pada September, Khairy berkata di Parlimen, kerajaan sedang mengkaji untuk membenarkan hak untuk doktor kontrak memohon biasiswa penuh di bawah Kementerian Kesihatan untuk mengikuti latihan kepakaran.
Sebelum ini beliau berkata, hak memohon HLP yang membolehkan doktor mengikuti program latihan kepakaran di universiti awam sambil bekerja hanya untuk pegawai perubatan tetap.
Jika doktor kontrak mahukan latihan lanjut, mereka perlu meneruskan melalui laluan sendiri.
"Ini untuk masa depan mereka, ini antara perkara yang dituntut dan dinantikan oleh doktor kontrak," katanya.
Khairy berkata, langkah itu juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk menambah bilangan pakar dalam penjagaan kesihatan awam, yang kini hanya berjumlah 5,993 daripada 32,885 doktor tetap di bawah kementerian itu.
Daripada 23,096 doktor kontrak, hanya ada 19 doktor pakar.
Khairy berkata, negara kini mempunyai kira-kira 13,000 pakar, termasuk dalam sektor swasta, sambil menambah bahawa 28,000 pakar diperlukan menjelang 2030. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram