Tiada niat jatuhkan profesion doktor — SPRM


  • 112
  • Khamis, 06 Jan 2022

TANGKAP layar video tular yang dimuatnaik di laman Twitter rasmi SPRM yang telah diturunkan.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berniat menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pengamal perubatan melalui video pemberian sijil cuti sakit palsu yang tular baru-baru ini.

Sebaliknya, pihaknya berhasrat untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai rasuah berdasarkan situasi sebenar.

"SPRM amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

"Video tersebut merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit palsu (MC) berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM, menerusi aduan yang diterima daripada pihak majikan dan orang awam kepada suruhanjaya ini," menurut kenyataan itu.

Menerusi video berdurasi 30 saat yang dikongsikan di akaun Twitter rasmi SPRM itu, seorang lelaki dilihat meminta MC walaupun doktor memberitahu dia sihat.

Lelaki itu kemudian menyerahkan sampul surat kepada doktor itu untuk “memudahkan” permintaannya. Doktor itu dilihat menerima sampul berkenaan sebelum menandatangani MC untuknya.

Menurut kenyataan SPRM, pihaknya menerima pelbagai respon berhubung video berkenaan, termasuk daripada pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

MMA dalam kenyataannya pada Rabu menegaskan, SPRM sepatutnya menggunakan contoh lain untuk menyampaikan mesejnya.

Persatuan itu berkata, pihaknya berasa terhina dengan hantaran itu dan menuntut supaya video berkenaan diturunkan.

Dalam pada itu, SPRM menjelaskan bahawa pihaknya mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram