Peraturan vape di Malaysia perlu berbeza dengan rokok — MVIA


  • Massa
  • Jumaat, 14 Jan 2022

DASAR di Britain dan New Zealand menetapkan bahawa vape terbukti kurang memudaratkan berbanding rokok.— Gambar hiasan/The Star

SEBANYAK 92 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa satu peraturan khusus untuk produk vape perlu dibangunkan secara berbeza daripada rokok, kata Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria.

Menurut beliau, peraturan tersebut perlu digubal seperti dasar di Britain dan New Zealand yang membezakan peranti itu dengan rokok memandangkan vape terbukti kurang memudaratkan.

“Di Malaysia, industri tempatan bernilai lebih RM2 bilion dengan lebih 3,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan melibatkan kira-kira 15,000 pekerja. Sektor vape memerlukan undang-undang khusus yang berbeza daripada rokok tradisional.

"Ini akan membolehkan sektor vape memenuhi potensi pertumbuhannya dan membantu lebih ramai perokok Malaysia untuk berhenti merokok. MVIA percaya bahawa kerajaan Malaysia mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan industri vape tempatan," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, Industri vape dilihat sebagai salah satu inovasi yang memberi kesan kepada sektor tembakau kerana berjuta-juta perokok di seluruh dunia beralih kepada produk vape.

Jelasnya, hal ini berikutan produk vape terbukti sebagai alternatif yang kurang memudaratkan berbanding rokok tradisional dan berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok.

Rizani Zakaria, President of the Malaysian Vape Industry Advocacy[2408]

PRESIDEN MVIA, Rizani Zakaria

Sementara itu, dalam satu tinjauan yang dilakukan baru-baru ini, majoriti daripada 1,000 responden yang ditemui bersetuju dengan perkara itu dan mereka juga berpendapat bahawa kerajaan juga harus memastikan pasaran gelap produk vape berada pada tahap minima.

Hasil tinjauan pendapat itu diperoleh daripada #Tax and Regulate MY Vape: Your Say yang dijalankan oleh MVIA dan dikendalikan oleh sebuah syarikat penyelidikan pasaran, Green Zebras.

"Berdasarkan keputusan tinjauan pendapat tersebut, rakyat Malaysia juga mengulangi sentimen ini, dengan 75 peratus daripada mereka yang menyertai tinjauan menyatakan bahawa kerajaan Malaysia mesti terlibat secara aktif dalam mengawal selia industri vape.

"85 peratus daripada peserta berkata vape harus dipromosikan untuk meningkatkan kesedaran terhadap keberkesanannya sebagai alternatif yang kurang memudaratkan. Menariknya, 68 peratus mengatakan bahawa produk vape harus dijual dalam talian melalui platform e-dagang, asalkan kanak-kanak di bawah umur tidak mempunyai akses kepada produk tersebut," ujarnya.

Tambahnya, pelbagai kajian antarabangsa mendapati bahawa vape kurang memudaratkan.

Jelasnya, penemuan tersebut mendorong negara seperti Britain dan New Zealand untuk mempromosikan vape sebagai alat berhenti merokok.

Menurut tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan, kadar merokok di Malaysia direkodkan menurun manakala penggunaan vape meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Keputusan tinjauan menunjukkan bahawa 85 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa penurunan kadar merokok ini dipengaruhi oleh faktor perokok yang beralih kepada vape, manakala 68 peratus daripada mereka yang menyertai tinjauan berpendapat bahawa vape kurang memudaratkan berbanding rokok tradisional.

“Negara seperti Britain mencapai kemajuan dalam mengurangkan kelaziman merokok mereka dengan mengawal selia produk vape dan memastikan produk vape dikawal secara berbeza daripada rokok.

"Langkah ini bukan sahaja menggalakkan perokok beralih kepada vape yang kurang memudaratkan, tetapi memberi peluang kepada pemain industri tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka," jelasnya.

Tambahnya lagi, Malaysia harus melihat kejayaan undang-undang yang berkredibiliti seperti di Britain apabila membangunkan dasar untuk pasaran vape tempatan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mvia, vape, rizani zakaria, peraturan, pks, malaysia