Denda pemaju banyak lambakan rumah tidak terjual


  • Massa
  • Rabu, 24 Nov 2021

TRANSAKSI pembelian rumah sedia ada secara 'subsale' juga menyumbang kepada peningkatan rumah baharu yang tidak terjual. — Gambar hiasan/ The Star

KERAJAAN boleh meneliti cadangan memberi diskaun sehingga antara 50 hingga 70 peratus kepada hartanah tidak terjual di negara ini bagi mengurangkan kadar lambakan kediaman siap sedia ada.

Pakar pelaburan hartanah, Faizul Ridzuan berkata, pemaju yang mempunyai banyak hartanah tidak terjual juga boleh dikenakan denda pada kadar tertentu sebagai usaha menangani masalah lambakan rumah tidak terjual.

Beliau bagaimanapun berkata, polisi tersebut perlu diteliti dan diperhalusi secara mendalam bagi mengelakkan konflik dan masalah berbangkit di kemudian hari.

Memberi contoh lambakan kediaman di Johor yang menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah hartanah tidak terjual, beliau berkata, sebahagian pemaju di negeri itu menyasarkan pembeli dari China dan Singapura.

Namun menurutnya, jika polisi denda dikenakan kepada pemaju tersebut, ia dikhuatiri akan membuatkan mereka tidak lagi berminat mahu membangunkan hartanah di kawasan itu pada masa hadapan.

"Pemaju-pemaju ini dibimbangi tidak akan kembali buat bisnes di Johor contohnya, dan negeri itu akan mula ada masalah hartanah tak mencukupi dalam jangka masa panjang.

"Jadi semua penyelesaian yang bakal dicadangkan kena dipertimbangkan kesan jangka pendek dan efek jangka panjang," katanya.

Sementara itu, pelabur hartanah, Ihsan Zainal berkata, kadar pembinaan rumah mampu milik di negara ini masih jauh tersasar dan tidak selari dengan pendapatan rakyat mengikut negeri masing-masing.

Katanya, penawaran harga rumah di negara ini masih lagi tidak seimbang dengan gaji median di Malaysia iaitu kira-kira RM3,224 pada tahun lalu, sekali gus menyebabkan nilai hartanah tidak sesuai dengan kemampuan pembeli.

"Mungkin ada sebahagian daripada lambakan kediaman tidak terjual ini lebih murah daripada purata nilai hartanah RM600,000, namun tengok di mana lokasi sama ada di kawasan pedalaman atau negeri seperti Perlis, Perak atau Kelantan.

"Ini belum ditambah dengan masalah pemohon yang pinjamannnya tak lepas disebabkan komitmen lain," katanya.

Pada Selasa, Dewan Rakyat diberitahu bahawa sebanyak 30,290 unit kediaman siap dibina bernilai RM19.75 bilion di seluruh negara yang tidak terjual setakat suku ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib berkata, Johor menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kediaman tidak terjual iaitu sebanyak 6,441 unit diikuti Pulau Pinang (4,648) dan Kuala Lumpur (3,863).

"Antara punca lambakan rumah tidak terjual ini berlaku adalah ekoran daripada penawaran perumahan yang tidak sepadan dengan permintaan di sesuatu lokaliti, harga rumah yang tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah, lokasi yang kurang menarik dan lain-lain lagi.

"Pada masa yang sama, transaksi pembelian rumah sedia ada secara 'subsale' juga menyumbang kepada peningkatan rumah baharu yang tidak terjual," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram