Setahun jual aiskrim, bekas jurufoto pernah hilang kerja kongsi dugaan jadi usahawan


SYEFRY yang pernah bergelar jurugambar profesional kini menjalankan perniagaan aiskrim secara sepenuh masa. — Facebook

SELEPAS kira-kira setahun beroperasi, Syefry Moniz Mohd Nizar, 47, mampu tersenyum melihat jenama aiskrim PopsLab yang diusahakannya semakin berkembang maju dan mendapat tempat dalam kalangan hati pelanggan.

Malah dia juga kini boleh berbangga dengan hasil titik peluh sendiri apabila PopsLab bakal memiliki kafe tersendiri yang dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Di sebalik pencapaian Syefry hari ini, bekas jurugambar profesional itu berkata, dia mengakui tidak terlepas daripada menempuh pelbagai kepayahan dan dugaan dalam menjalankan perniagaan tersebut.

Berkongsi pengalamannya itu, Syefry berkata, seperti peniaga lain, dia turut berdepan hasil jualan tidak menentu sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pasca PKP ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Menurutnya, dia memerlukan pendekatan perniagaan berbeza mengikut permintaan pelanggan yang berubah-ubah berdasarkan trend semasa.

"Kalau ketika PKP dulu, pelanggan banyak duduk di rumah jadi jualan pun meningkat ketika itu, namun selepas kebenaran rentas daerah dan negeri diberikan, orang ramai keluar pulang ke kampung, bercuti dan sebagainya yang menyebabkan permintaan berkurangan.

"Begitupun, kami dapat melalukan transaksi perniagaan secara fizikal apabila berpeluang membuka gerai jualan di pusat beli-belah dan menyertai acara berskala besar termasuk program pelancaran Pas Keluarga Malaysia yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 November lalu," katanya kepada Majoriti.

ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) mengunjungi gerai aiskrim PopsLab selepas pelancaran pas Keluarga Malaysia di KL Sentral baru-baru ini. — Facebook

Syefry yang mengikuti kursus membuat aiskrim selepas kehilangan kerja pada Oktober 2019 berkata, pembabitannya dalam dunia keusahawanan turut menguji kesabaran serta kekuatan mentalnya kerana perlu menguruskan segala aspek daripada peringkat pengurusan hinggalah ke proses penghantaran.

"Apabila mengusahakan bisnes sendiri, memang semua kena buat. Sayalah bos dan pada masa sama, saya juga kuli. Kalau tak cukup staf, kerja rider pun saya buat. Inilah lumrah orang berniaga," katanya merendah diri.

Ditanya mengenai modal permulaan menjalankan perniagaan aiskrim PopsLab, Syefry memberitahu, dia perlu melepaskan barangan kesayangannya iaitu dua buah set kamera jenis DSLR (digital single-lens reflex) yang sebelum ini pernah menjadi modal mencari rezeki ketika bergelar jurugambar selama 17 tahun di sebuah syarikat akhbar.

"Hasil jualan kamera ini saya gunakan untuk beli peti sejuk beku yang berharga kira-kira RM5,000 namun belum cukup bagi menampung kos lain.

"Apabila kerajaan memberi kebenaran pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saya antara yang manfaatkan peluang ini untuk membeli mesin membuat aiskrim pula," ujarnya.

WhatsApp Image 2021-12-01 at 14.23.08

AISKRIM popsikel PopsLab dibuat menggunakan buah-buahan segar bagi mendapatkan rasa manis buah asli. — Facebook

Bercerita mengenai kafe baharu PopsLab, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, premis yang bakal membuka pintunya di Seri Kembangan itu kini dalam proses pengubahsuaian.

"Insya-Allah jika tiada halangan mungkin akan dibuka pada tahun depan. Selain kafe untuk pelanggan bersantai, premis ini akan jadi central kitchen di mana produksi aiskrim dijalankan di sini," katanya yang buat masa ini menjalankan perniagaan itu dari rumahnya di Putrajaya.

PopsLab yang menampilkan aiskrim popsikel dalam pelbagai perisa buah-buahan asli seperti mangga, tembikan, buah naga, tembikai susu dan terbaharu durian Musang King dijual pada harga RM1.50 hingga RM5 mengikut jenis perisa.

Didatangkan dalam 18 varian perisa aiskrim, antara perisa lain yang mendapat permintaan ramai termasuklah berasaskan susu seperti Biscoff dan Oreo.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk ini boleh menghubungi Syefry di talian 01130800825 atau layari laman Facebook Aiskrim PopsLab Malaysia dan Instagram Popslab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram