Angka harian meningkat, catat 3,684 kes baharu


  • Primer
  • Khamis, 13 Jan 2022

JUMLAH itu menjadikan angka kumulatif kes Covid-19 bertambah kepada 2,798,917.

SEBANYAK 3,684 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Malaysia pada Khamis, meningkat berbanding 3,198 kes dicatatkan pada Rabu.

Jumlah itu menjadikan angka kumulatif kes Covid-19 bertambah kepada 2,798,917.

Angka tersebut adalah tertinggi dalam tempoh dua minggu sejak 30 Disember lepas yang mencatatkan 3,997 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kes sembuh pula mencatat 3,292 kes, menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,726,891 kes.

"Daripada 3,684 kes harian dilaporkan pada Khamis, 34 kes (0.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,650 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (Icu) adalah 192 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 91,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, lapan kluster baharu turut dikenal pasti dengan 178 kluster masih aktif, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.99, pada Rabu.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 470 kes seperti dimaklumkan semalam kerana tiada pertambahan kes baharu dilapor setakat 3 petang Khamis.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan turut mengesan empat kes penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana itu yang merangkumi dua kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (Ari) dan dua kes penyakit kulit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, Kes Harian, meningkat, Noor Hisham, Kkm