Isu MyUbat akibat kekeliruan pelanggan, pegawai — HKL


  • Primer
  • Rabu, 12 Jan 2022

HKL telah mengenal pasti pegawai terlibat dengan isu komunikasi itu serta tindakan sewajarnya bakal diambil. — The Star

ISU tular di media sosial berhubung perkhidmatan farmasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini, merupakan kekeliruan yang berlaku antara pengadu dan pegawai bertugas.

Pengarah HKL, Dr Rohana Johan menjelaskan, kekeliruan itu timbul apabila perkhidmatan MyUbat yang tidak dapat dilaksanakan sebenarnya adalah bagi ubat tertentu, berikutan kekangan stok bekalan yang terhad.

"Bagi melaksanakan aplikasi MyUbat dan penghantaran melalui pos memerlukan pembungkusan dua minggu lebih awal dari tarikh pesakit menerima ubat tersebut.

"bagaimanapun perkhidmatan tersebut akan dilaksanakan seperti biasa apabila stok bekalan ubat kembali normal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya pada masa sama telah mengenal pasti pegawai terlibat dengan isu komunikasi itu serta tindakan sewajarnya bakal diambil bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.

"Kita akan mengambil tindakan untuk penambahbaikan perkhidmatan di semua kaunter perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan seorang pesakit berkongsi rasa tidak puas hati berhubung perkhidmatan diberikan ketika berurusan dengan ahli farmasi di HKL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram