Empat perkara perlu diambil kira jika ada hobi baharu


  • Hobi
  • Selasa, 11 Jan 2022

INDIVIDU yang gemar membuat roti mungkin ingin meningkatkan minat itu ke tahap yang lebih tinggi dengan mengikuti kelas menghias kek. —  Agensi

KETIKA pandemik, jutaan orang mendapati diri mereka mempunyai lebih masa terluang berbanding sebelum ini.

Ramai yang memanfaatkan masa lapang yang baharu ditemui itu dengan menerokai hobi dan minat baharu.

Hobi memberi manfaat dalam pelbagai cara. Menurut Psychology Today, hobi membantu dalam banyak perkara termasuk menguruskan masa, memupuk hubungan sosial baharu dan memberi idea untuk dibincangkan.

Satu kajian di San Fransisco State University mendapati bahawa, pekerja yang mempunyai saluran kreatif di luar pejabat juga lebih mahir dalam menyelesaikan masalah secara kreatif di tempat kerja.

Sesiapa sahaja yang ingin menambah hobi baharu dalam hidup mereka boleh mempertimbangkan petua ini ketika memulakan usaha mereka.

MEMPERTIMBANGKAN KOS

Pertimbangkan kekangan kewangan atau potensi menghasilkan wang apabila mencari hobi baharu.

Sebagai contoh, seseorang yang suka memancing mungkin ingin mengembangkan hobi itu dengan membeli bot dan melakukan aktiviti memancing di laut dalam.

Rust-Fishing

INDIVIDU yang gemar memancing mungkin perlu memikirkan kos yang harus dikeluarkan jika mahu mengembangkan hobi itu. — Agensi

Pemancing perlu mempertimbangkan faktor seperti kos bot, bahan api, yuran perlesenan, umpan atau bekalan memancing.

Selain itu, seseorang itu juga perlu mempelajari cara memancing yang membabitkan penyewaan atau pembelian alatan.

Hobi seseorang individu mungkin terhad terhadap apa yang mampu dan tidak mampu dilakukannya.

TEROKAI MATLAMAT

Orang ramai harus mengenal pasti apa yang mereka inginkan menerusi hobi yang dilakukan. Hobi tertentu boleh membentuk diri seseorang selain mengajar mereka kemahiran baharu.

Sesetengah orang mungkin hanya ingin berkawan dengan melakukan aktiviti bersama-sama.

PELABURAN MASA

Seseorang individu harus menentukan berapa lama yang mereka perlukan untuk meneruskan hobi mereka dan kemudian mempertimbangkan jika mereka mempunyai masa untuk melakukannya.

Sesetengah hobi boleh diibaratkan seperti pekerjaan kedua mereka sekiranya ia terlalu mengambil banyak masa lapang individu.

Seseorang juga harus mempertimbangkan dengan teliti komitmen masa keseluruhan yang mereka sanggup korbankan bagi sesebuah hobi.

JANGAN LUPA MINAT

Seseorang harus berhati-hati mempertimbangkan mana-mana minat, sebelum meneruskan hobi yang sejajar dengan minat mereka.

Mereka yang meminati haiwan mungkin ingin menyertai kelab memerhati burung, manakala individu yang gemar membuat roti mungkin ingin meningkatkan minat itu ke tahap yang lebih tinggi dengan mengikuti kelas menghias kek.

Hobi adalah usaha berfaedah yang boleh meluaskan ilmu dan membina persahabatan baharu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hobi, wang, minat, masa, matlamat, kos