
MENDUKACITAKAN bagi pengguna yang dimaklumkan tentang kenaikan harga makanan asas seperti ayam dan telur berkuatkuasa selepas 4 Februari terutamanya mereka sudah berbelanja lebih banyak ketika ini untuk membeli buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan.
Menurut Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr Paul Selva Raj, pihaknya akan terus membangkitkan isu harga makanan yang tinggi dan keperluan asas lain serta bagaimana ia memberi kesan kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.
"Golongan pengguna ini khususnya terjejas oleh harga makanan yang tinggi kerana sebahagian besar daripada pendapatan isi rumah mereka dibelanjakan untuk makanan.
"Kami secara konsisten menekankan fakta bahawa harga makanan yang tinggi disebabkan oleh manipulasi harga dan penyalahgunaan sistem lesen import (AP)," katanya.
Tambah Raj, amalan monopoli dalam pelbagai sektor rantaian bekalan makanan mengakibatkan kenaikan harga barangan pengguna.
"Perkara ini disahkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam laporan 2019 berhubung semakan pasaran barangan makanan utama.
"Ambil contoh harga ikan kembung, antara ikan yang paling banyak dimakan oleh isi rumah di negara ini.
"Menurut laporan MyCC, pelbagai lapisan perantara dalam rantaian bekalan industri perikanan merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan kenaikan harga ikan kembung.
"Apabila ikan tiba di pasaran, harganya akan meningkat hampir enam kali ganda," jelasnya.
PENENTUAN harga barangan yang tidak telus menjadi punca peningkatan harga. — Bernama
Selain itu, menurut Raj, penentuan harga yang tidak telus dalam rantaian bekalan makanan menyebabkan harga barangan serta perkhidmatan tidak menggambarkan nilai sebenar dengan tepat.
"MyCC mencadangkan penubuhan pasaran borong baharu untuk menggalakkan persaingan yang lebih telus sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan isu ini.
"Laporan MyCC juga membangkitkan manipulasi sistem AP sebagai isu utama berhubung harga makanan yang tinggi dan keperluan asas lain.
"Walaupun Fomca sering menentang penggunaan AP untuk makanan, kami diberitahu bahawa sistem ini tidak wujud.
"Namun, dua hari lalu, ketua rangkaian pasar raya besar tempatan menggesa kerajaan supaya telus dalam pemberian AP untuk mengimport ayam," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Fomca menggesa kerajaan supaya lebih telu dalam pengeluaran AP untuk makanan dan barangan keperluan pengguna lain.
"Jika peruncit atau penjual lain boleh mengimport terus produk ini, sudah pasti harga pasaran mereka akan lebih rendah.
"Sekiranya kerajaan serius menurunkan harga, maka tindakan serius perlu diambil bagi mereka yang memanipulasi harga.
"Pesalah ini dikenal pasti dalam laporan MyCC 2019.
"Kerajaan mempunyai dua undang-undang yang cukup berkuasa terhadap mereka yang mengambil keuntungan dan memanipulasi harga iaitu Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Persaingan 2010.
"Pemberian AP juga perlu dikaji semula. Keuntungan oleh pemegang AP perlu dihentikan," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram