Gergasi Utara buru 'ubi' muda Selangor


  • Podium
  • Rabu, 12 Jan 2022

SARAVANAN Thirumurugan (kanan) ketika beraksi untuk skuad Bawah 22 (B-22) negara. — Bernama

SELEPAS melepaskan beberapa pemain utama, kelab utara tanah air, Penang FC semakin rancak membawa masuk beberapa muka baharu bagi memperkuat pasukan bagi menghadapi musim baharu.

Antara muka baharu yang menyertai pasukan itu adalah beberapa bekas pemain Perak FC iaitu penjaga gol Muhamad Hafizul Hakim; pemain sayap, Adib Raop dan bek kiri, Ahmad Syamin Baharuddin.

Selain itu, penyerang skuad kebangsaan Lubnan, Hilal El Helwe juga akan menyarung jersi Penang FC, yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu.

Harimau Kumbang kini dilaporkan sedang memburu 'ubi' muda Selangor, Saravanan Thirumurugan, yang bermain untuk pasukan kedua, Selangor FC II di Liga Premier.

Pemain berusia 21 tahun itu merupakan salah satu pemain muda berbakat ketika ini dan dianggap sebagai prospek masa depan skuad negara.

Musim lalu, beliau melakukan 14 penampilan liga dan berjaya mencetak dua gol untuk pasukan.

Beliau juga mewakili negara dalam skuad Bawah 23 (B-23) kendalian jurulatih kelahiran Australia, Brad Maloney yang melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan dengan rekod tanpa kalah.

Pemain tersebut dikenali dengan kelincahannya dan stamina tinggi serta rajin berlari di atas padang. Beliau juga adalah seorang pemain versatil yang boleh beraksi di bahagian sayap dan juga tengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram