Sindiket 'putih mata' seludup 3,000 liter air zamzam ke Singapura


  • 112
  • Ahad, 09 Jan 2022

SAZALI (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan air zamzam yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru pada Ahad. — Sinar Harian

CUBAAN menyeludup keluar 3, 000 liter air zamzam ke Singapura berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menerusi pemeriksaan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Tanjung Kupang pada 30 Disember lalu.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, rampasan terbabit dianggarkan bernilai RM66,000.

"Bahagian Penguatkuasaan Gelang Patah JKDM Johor berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dagangan disyaki air zamzam menggunakan sebuah lori.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori terbabit mendapati terdapat dagangan lain yang turut dibawa seperti peralatan mandian, peralatan sembahyang dan lain-lain dagangan untuk dieksport ke Singapura.

"Bagaimanapun, semakan ke atas dokumen pengikraran mendapati air zamzam tersebut tidak diikrar semasa pengeksportan dibuat," katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Menurut Sazali, dua lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 30 tahun yang merupakan pemandu dan kelindan lori ditahan untuk membantu siasatan.

"JKDM Johor telah menghantar sampel air dipercayai air zamzam ke Jabatan Kimia pada 2 Januari lalu untuk ditentukan ketulenannya.

"Sekiranya air tersebut merupakan air zamzam tulen, dagangan tersebut akan diserahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sazali tidak menolak kemungkinan, permintaan yang tinggi terhadap air zamzam di Singapura menyebabkan sindiket mengambil kesempatan untuk menyeludup air zamzam walaupun perbuatan itu dilarang mengikut undang-undang.

"Air zamzam diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga/Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Kes sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraud duti kastam dan mengelakkan larangan import mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kastam, Sazali Mohamad, Johor, air zam-zam