Bukan dera tapi mahu tengok kolam kondo Bukit Jalil


  • 112
  • Jumaat, 07 Jan 2022

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan didakwa diletakkan di luar balkoni rumahnya. — Twitter

PIHAK polis menerima satu laporan berkaitan satu video yang tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak perempuan sedang berdiri di balkoni sebuah kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur telah menjalankan siasatan berkaitan video berkenaan dan mendapati kanak-kanak itu adalah warga tempatan berusia lima tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Saiful Anuar Yusoff berkata, bapa mangsa mengatakan anaknya itu seorang yang hiperaktif dan telah keluar dari tembok beranda kerana ingin melihat kolam mandi di tingkat bawah kondominium berkenaan.

"Selepas kira-kira tiga minit, ibu bapa mangsa yang berusia 31 tahun dan 34 tahun telah berjaya memujuk mangsa untuk masuk semula ke dalam rumah.

"Tempat kejadian merupakan rumah nenek mangsa yang dikunjungi untuk membuat persiapan majlis perkahwinan kakak sulung kepada bapa mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Majoriti pada Khamis melaporkan satu rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak didakwa diletakkan di luar bahagian balkoni rumahnya dipercayai di sebuah kondominium di Bukit Jalil.

Rakaman berkenaan dikongsikan pengguna Twitter menggunakan nama Hafiz Nassir pada Rabu sebelum video tersebut tular di aplikasi WhatsApp pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram