SEBANYAK 31 sekolah di Johor yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir, tidak akan dibuka untuk sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang berkata, sebanyak 23 sekolah di empat daerah telah digunakan sebagai PPS melibatkan masing-masing lapan di Segamat dan Tangkak.
Beliau berkata, selebihnya di Muar (lima) dan Batu Pahat (dua) manakala lapan sekolah lagi iaitu empat di Tangkak, Segamat (tiga) dan Muar (satu), masih dinaiki air.
"Sekolah-sekolah ini ditutup kerana dijadikan PPS dan akan terus dijadikan PPS sehingga banjir selesai.
"Sekolah yang dinaiki air juga akan terus ditutup sehingga proses pembersihan selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Program Festival Permainan Tradisional Negeri Johor 2021 di Savanna Hill Resort pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi sesi persekolahan membabitkan sekolah yang terlibat banjir di Johor.
Mazlan berkata, setakat ini seramai 369 pelajar dan tiga orang guru masih berada di PPS kerana terjejas dalam bencana banjir.
Empat daerah di Johor masih terjejas dengan banjir dan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,884 orang.
Ini diikuti dengan Muar seramai 1,188 mangsa banjir, Tangkak (726) dan Batu Pahat (74).
Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di negeri itu dilaporkan terus menurun daripada 4,233 individu daripada 1,191 keluarga kepada 3,872 orang daripada 1,090 keluarga setakat 8 pagi Sabtu.
Keseluruhan mangsa banjir itu melibatkan 56 pusat pemindahan sementara (PPS). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram