Empat beranak cedera dirempuh Axia hijau di Johor Bahru


  • 112
  • Jumaat, 07 Jan 2022

KEADAAN mangsa yang tercampak di atas jalan raya selepas dirempuh sebuah kereta Axia berwarna hijau dalam kejadian di Johor Bahru. — Facebook

EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di Johor Bahru, Johor petang Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggangi lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.

Beliau berkata, ketika kejadian, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.

RAKAMAN video tular menunjukkan sebuah kereta Axia merempuh motosikal ditunggangi empat beranak dalam kejadian pada Khamis. — Facebook

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal bersama isteri serta dua anaknya mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Sementara itu, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Trafik JBS pada pukul 6.53 petang hari sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Lim berkata, percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan Azim@Azim Ab Samt di 019-7533893.

Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan tersebut.

Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak di atas jalan raya.

Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram