593 botol perisa vape seludup bernilai RM50,405 dirampas tepi sungai di Rantau Panjang


  • 112
  • Rabu, 29 Dis 2021

PENYELUDUPAN ke Thailand itu menggunakan modus operandi dengan menyimpan stok perisa vape di lokasi transit berdekatan pangkalan haram.

SEBANYAK 593 botol perisa vape pelbagai jenis bernilai RM50,405 berjaya dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang, Kelantan pada pukul 4.30 awal pagi Rabu.

Rampasan itu dilakukan ketika anggota membuat rondaan sebelum terserempak sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dari tebing sungai ke perahu dalam keadaan mencurigakan.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi, penyeludupan menggunakan modus operandi dengan menyimpan stok perisa vape di lokasi transit berdekatan pangkalan haram sebelum ia dibawa menggunakan perahu sebaik melihat situasi bebas daripada pihak berkuasa.

"Anggota yang meronda mendekati kumpulan lelaki terbabit, namun mereka bertindak melarikan diri ke negara jiran, Thailand, menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok.

"Pemeriksaan pada kotak yang ditinggal mendapati, terdapat pelbagai jenis perisa vape di dalamnya, disyaki untuk dibawa seludup ke negara jiran," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, tindakan menyeludup cecair vape ke Thailand adalah kerana ia mendapat permintaan tinggi di negara itu selain nilainya yang lebih mahal berbanding di Malaysia.

Jelasnya lagi pihaknya juga difahamkan, Thailand adalah sebuah negara yang mengharamkan penggunaan vape di negaranya, justeru mereka memilih cara menyeludup masuk secara haram untuk mendapatkan bekalan.

"Penyeludup mengambil risiko dan peluang untuk membawa masuk cecair vape secara haram, namun pihak kami terus peka mengenal pasti strategi mereka agar ia dapat dibanteras sebaik mungkin," katanya.

"Kesemua barangan berkenaan dirampas dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Azhari Nusi, PGA7, kelantan, vape, rampas