MAKLUMAT peribadi pendeposit kini dapat dikemas kini menerusi aplikasi THiJARI tanpa perlu hadir ke Pejabat Tabung Haji (TH) Cawangan, bermula Rabu.
Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan TH Mohamed Ameen Abdul Wahab dalam kenyataan berkata, antara maklumat peribadi yang boleh dikemas kini secara dalam talian ialah gelaran, e-mel, alamat tetap dan surat-menyurat, nombor telefon rumah dan pejabat, status perkahwinan, nombor akaun bank dan lain-lain yang boleh dirujuk melalui laman web TH.
“TH komited menyediakan perkhidmatan terbaik dan mesra pelangan kepada para pendeposit termasuklah urusan dalam talian menerusi aplikasi THiJARI. Kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara, para pendeposit lebih memilih untuk berurusan secara dalam talian.
“Sehubungan itu, TH telah menambah baik platform digital supaya pendeposit dapat mengemas kini maklumat peribadi secara dalam talian agar maklumat pendeposit sentiasa terkini dan memudahkan urusan mereka pada masa hadapan,” katanya.
Mohamed Ameen yang juga Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH berkata, sekiranya pendeposit mahu mengemas kini nombor telefon bimbit berdaftar, mereka dihendaki hadir ke Pejabat TH Cawangan berdekatan dan ini adalah selaras dengan polisi Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan Electronic Know-Your-Customer (e-KYC).
Katanya, e-KYC bertujuan untuk pengesahan diri bagi mengurangkan risiko transaksi secara maya atau tidak bersemuka selain memastikan pendaftaran nombor telefon bimbit adalah terkawal.
Sehingga kini, THiJARI telah merekodkan purata 50,000 transaksi sehari dan 1.5 juta transaksi sebulan melibatkan nilai deposit lebih daripada RM200 juta melalui dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram