Tabung perkenal THiJARI Biz permudah urusan potongan gaji


  • Bizz
  • Selasa, 14 Dis 2021

THiJARI Biz yang boleh diakses secara dalam talian dan mampu memudahkan proses potongan gaji pekerja oleh majikan.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) pada Selasa memperkenalkan THiJARI Biz, inisiatif digitalisasi atau perkhidmatan dalam talian baharu bagi memudahkan majikan membuat urusan potongan gaji bulanan pekerja ke akaun TH dengan lebih teratur dan sistematik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, selain membantu memudahkan kerja majikan, inisiatif berkenaan juga mempercepatkan proses pengkreditan ke dalam akaun TH yang ditetapkan oleh pekerja.

"THiJARI Biz diperkenalkan sebagai satu inisiatif transformasi digital TH ke arah penambahbaikan perkhidmatan dalam talian dan automasi proses kerja supaya perkhidmatan TH lebih cekap dan efisien,” katanya ketika merasmikan inisiatif digitalisasi terbaharu TH di Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata sebelum ini, urusan potongan gaji diuruskan oleh TH secara manual apabila butiran dan bayaran caruman diterima daripada pihak majikan menerusi e-mel, surat atau bersemuka di cawangan TH.

"Proses pengkreditan potongan gaji dilakukan secara manual dan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata dengan pelaksanaan THiJARI Biz, segala urusan berkaitan butiran dan bayaran potongan gaji akan diuruskan secara kendiri oleh pihak majikan menerusi portal dalam talian dan pengkreditan potongan gaji akan hanya mengambil masa satu hari bekerja sekiranya maklumat lengkap dan akaun aktif.

"Selain itu, majikan boleh mengemas kini maklumat profil syarikat, pentadbir dan rekod pekerja dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, THiJARI Biz yang boleh diakses melalui pautan www.thijari.com.my/thijaribiz mampu memudahkan proses potongan gaji pekerja oleh majikan.

"Tempoh pengkreditan ke dalam akaun TH pekerja juga lebih singkat,” katanya sambil menambah program automasi itu dijangka menarik lebih ramai pekerja sektor awam dan swasta untuk membuka akaun dan menabung secara berterusan melalui potongan gaji bagi memenuhi impian menunaikan haji.

Mengulas lanjut, Amrin berkata dengan pengenalan THiJARI Biz, transaksi potongan gaji pekerja boleh dilakukan oleh majikan pada bila-bila masa dengan selamat dan pada masa yang sama akan diproses dengan lebih efisien.

"Semakan transaksi juga boleh dilakukan secara dalam talian oleh majikan manakala pekerja pula boleh menyemak rekod pengkreditan melalui aplikasi THiJARI masing-masing,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan THiJARI Biz atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH, orang ramai boleh merujuk di laman web rasmi TH iaitu www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi talian khidmat pelanggan TH (THCC) di 03-6207 1919. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram