AGIHAN hibah (dividen) Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka meningkat susulan pertumbuhan ekonomi yang semakin memberansangkan untuk tahun 2021, kata Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif.
Menurutnya, perkara itu berkemungkinan berlaku memandangkan tahun lalu juga TH tidak membelanjakan sebarang peruntukkan subsidi buat jemaah haji berikutan pandemik Covid-19.
"Tahun lalu, hibah TH dicatatkan pada kadar 3.05 peratus membabitkan agihan berjumlah RM2.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan ini menunjukkan bahawa kemungkinan akan ada peningkatan untuk tahun ini.
"Tambahan pula, tahun lalu, TH sudah jimat kerana tidak membelanjakan sebarang peruntukkan untuk subsidi jemaah yang pernah mencecah anggaran kira-kira RM400 juta sebelum pandemik," katanya kepada Majoriti.
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif.
Tambahnya lagi, anggaran peningkatan kadar hibah juga berkemungkinan berada pada paras sama iaitu dalam lingkungan tiga peratus.
Beliau turut menyatakan bahawa tidak mustahil kadar hibah boleh meningkat lebih tinggi, melepasi paras tiga peratus tahun ini.
"Perkara itu boleh berlaku atas beberapa faktor termasuk penjimatan TH tahun lalu serta situasi ekonomi Malaysia yang semakin pulih.
"Pulangan pelaburan TH juga menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan kemungkinan jumlan agihan juga akan meningkat," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram