KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menyelidiki mengenai dos keempat dengan bukti kajian saintifik terkini tentang keberkesanan dan kesan sampingan mengenai dos penggalak itu, kata Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For COVID-19 ( VCEE19) itu berkata, dengan keadaan negara sekarang seharusnya KKM patut meneliti dengan melakukan kajian terlebih dahulu mengenai dos penggalak yang keempat.
Malah, bagi beliau, kementerian berkenaan juga perlu tahu masa yang tepat untuk melaksanakan dos keempat itu dan kesemua itu perlu dilakukan dengan melibatkan pakar-pakar dari dalam serta pakar dari luar kerajaan.
"Saya lebih suka untuk lihat bukti saintifik dan epidemiologi sebelum buat keputusan untuk populasi awam," katanya saat ditanya mengenai dos penggalak keempat dari aspek perubatan.
Selain itu, Zainal Ariffin berkata, kerajaan sepatutnya memfokuskan dahulu kepada dos penggalak ketiga yang rata-ratanya orang awam masih menunggu sebelum memberi dos keempat.
"Dos keempat mungkin boleh diberi kepada kumpulan yang benar-benar perlu dulu seperti warga emas dan pesakit kronik," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, dia juga memberi saranan supaya semua orang agar teruskan mematuhi Garis Panduan & Operasi Standard (SOP) dan kerajaan perlu membuat kajian tentang aspek sistem imunisasi semula jadi daripada pesakit yang pernah terkena jangkitan.
Pada Sabtu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kumpulan teknikal KKM sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat berikutan ancaman penularan varian Omicron.
Terkini, sebanyak 64 kes Covid-19 varian Omicron yang disahkan menular di Malaysia dan Khairy Jamaluddin berkata 63 daripadanya membabitkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.
Katanya, sebanyak 32 kes atau 50 peratus daripada keseluruhan jangkitan Omicron yang dikesan di negara ini berlaku dalam kalangan jemaah umrah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram