Jangkitan meningkat lagi, catat 3,543 kes


  • Primer
  • Khamis, 06 Jan 2022

SEBANYAK 3,543 kes direkodkan negara pada Khamis. — Gambar hiasan

KES harian baharu Covid-19 negara terus menunjukkan peningkatan apabila merekodkan 3,543 kes baharu pada Khamis berbanding 3,270 kes yang dicatatkan pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 2,776,699 kes setakat ini.

Menurutnya, sebanyak 53 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 3,490 kes lagi ialah kategori satu dan dua.

"Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 253 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 130,” katanya menerusi satu kenyataan berhubung perkembangan Covid-19 pada Khamis.

Mengenai jumlah kes sembuh, Noor Hisham berkata, 3,484 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu adalah 2,705,292 kes.

Beliau berkata, tujuh kluster baharu turut dikenal pasti dengan 190 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.97, pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes Covid-19 baharu melibatkan mangsa banjir, dan jumlah kes kekal 465 kes.

Beliau berkata, 33 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir terdiri daripada 22 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut, penyakit kulit (10) dan Acute Gastroenteritis (satu). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram