ANTARA situasi yang membimbangkan pesakit ketika hadir ke hospital adalah apabila berdepan dengan doktor pelatih.
Bukan tidak percaya dengan ilmu yang dimiliki doktor pelatih, tetapi faktor kurang pengalaman membuatkan kita lebih selesa bertemu dengan doktor yang sudah lama bertugas.
Terbaharu, muncul pula status yang dimuat naik di akaun Facebook berkenaan dengan perihal doktor pelatih yang didakwa menyuntik seorang bayi sehingga 10 kali sebelum tular di laman sosial.
TANGKAP layar status berkenaan bayi yang disuntik 10 kali oleh seorang doktor pelatih. — Facebook
"Maaf doktor, saya juga dulu pernah jadi doktor pelatih, tapi hati saya masih ada kemanusiaan. Saya tahu awak masih belajar dan Kalau rasa tidak boleh buat, tak perlu cuba sampai 10 kali hingga seksa bayi tersebut," katanya.
Mengulas insiden itu, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar menyifatkan perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku.
"Doktor itu sepatutnya meminta bantuan doktor atau kakitangan yang lebih mahir dan berpengalaman," katanya kepada Majoriti.
Ditanya berapa maksimum suntikan yang boleh dilakukan untuk mengambil darah bagi seorang bayi, Dr Zainal berkata, tiada jumlah maksimum dan terpulang kepada doktor tersebut.
"Tidak ada jumlah maksimum suntikan tetapi doktor itu sendiri perlu tahu kemampuannya untuk mengambil darah pesakit.
"Tahan kemampuan itu termasuklah daripada segi kesan sakit dan bengkak yang akan dialami selepas suntikan diambil," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram