DARIPADA melakukan jenaka ringan kepada berdoa, rakyat Malaysia menggunakan pelbagai cara untuk membantu mereka menghadapi trauma dan kebimbangan akibat banjir besar.
Setiap kali Asfalili Kasim mendengar bunyi guruh, dia berasa cemas dan jika hujan mula turun, wanita itu sukar untuk tidur.
Artis grafik berusia 42 tahun itu berkata, dia perlu berjaga-jaga kerana jika air naik semula, wanita tersebut mempunyai masa menyelamatkan keluarganya serta barang peribadi.
Walaupun sudah lebih dua minggu, Asfalili masih mengingati dengan jelas betapa seramnya air banjir yang naik dengan pantas selepas berlaku hujan berterusan.
"Ia sangat menakutkan kerana air terus naik dan naik," katanya.
Selain itu, dia khuatir tentang neneknya yang berusia 96 tahun yang menetap bersamanya.
"Ini adalah kali pertama kami berdepan banjir yang begitu dahsyat. Walaupun saya bekerja dari rumah, saya perlu menjaga ibu dan nenek saya yang sudah berusia," ujarnya lagi.
Asfalili tidak bersendirian, ramai rakyat Malaysia mengakui berasa cemas setiap kali awan mendung tiba.
Apabila hujan mulai turun, kebimbangan mereka bertambah, terutamanya bagi yang tinggal di beberapa kawasan teruk dilanda banjir iaitu Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor dan Kajang, Selangor.
Asfalili membersihkan rumahnya sejak banjir mulai surut namun masih banyak kerja pembersihan perlu dilakukan.
"Untuk menahan rasa cemas, saya bercakap dengan adik-beradik, bergurau senda dengan mereka dan berdoa kepada ALLAH supaya keadaan menjadi lebih baik," menurutnya.
Sementara itu, pemilik kedai runcit, Tee Tze Wei, 42, berkata, dia akan berasa gementar apabila berlaku hujan berterusan di kawasan perumahannya di Pandamaran, Klang, Selangor.
"Saya berasa bimbang apabila langit bertukar mendung. Ini berlaku sejak dua minggu lalu.
"Dan kami diberitahu bahawa air pasang akan berada pada paras tinggi dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.
Ujar Tze Wei, dia juga berasa bimbang tentang keselamatan kedua-dua ibu bapanya yang menetap bersamanya.
"Perniagaan keluarga kami selama 49 tahun turut terjejas akibat banjir.
"Beberapa minggu lalu, air banjir memasuki kedai saya dengan pantas sehingga saya tidak dapat mengalihkan barangan saya ke tempat tinggi," ujarnya.
Tambah wanita itu, paras air selalunya sekitar 15 sentimeter (cm) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kali ini, paras air melebihi 60 cm. Semuanya berlaku begitu pantas.
"Dalam masa 10 minit, kedai saya dinaiki air," katanya sambil menambah kerugian yang ditanggung sekitar RM50,000. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram