Wanita sanggup tipu demi bantuan banjir di Temerloh


  • 112
  • Selasa, 04 Jan 2022

POLIS menjalankan siasatan selepas terima laporan daripada NGO terbabit. — Gambar hiasan

SEORANG wanita tergamak menipu mendakwa dirinya adalah mangsa banjir bagi mendapatkan bantuan disalurkan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di Mentakab, Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritendan Mohd Wazir Mohd Yusof, suspek berumur 33 tahun itu didakwa membuat permohonan bantuan banjir yang disampaikan sebuah NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) di Temerloh pada 29 Disember lalu.

"Suspek mendakwa dirinya berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak menerima sebarang bantuan, menyebabkan NGO tersebut memberi sumbangan kewangan, bekalan makanan, toto, selimut, bantal dan peralatan elektrik seperti kipas angin, mesin pengisar dan periuk nasi bernilai RM700.

"Bagaimanapun, NGO itu menerima rungutan orang ramai mendakwa wanita itu bukan mangsa banjir kerana alamat rumah yang digunakan dalam permohonan itu tidak didiami suspek," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohd Wazir, seorang ahli NGO itu membuat semakan dan mendapati wanita berkenaan turut membuat permohonan bantuan kepada NGO serta sukarelawan lain, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.

Siasatan awal polis juga mendapati alamat yang digunakan oleh suspek serta rumah yang didakwa ditumpanginya tidak berpenghuni selain semakan dengan ketua kampung di situ mengesahkan wanita terbabit bukan mangsa banjir.

Sehubungan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, tipu, banjir, bantuan, NGO