TIGA fenomena air pasang besar diramal berlaku di negara ini bermula awal bulan Januari hingga awal bulan depan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir Azmi Ibrahim berkata, ia bermula pada 2 hingga 5 Januari, diikuti 18 hingga 21 Januari dan 31 Januari hingga 3 Februari 2022.
Beliau berkata paras air laut yang tinggi sekali gus menjadi faktor berlakunya banjir air pasang besar.
"(Air pasang besar) memang akan menenggelami kawasan-kawasan yang rendah sekiranya tidak diberi perlindungan,” katanya.
Beliau berkata antara perlindungan yang biasa dilakukan adalah membangunkan penghadang di sepanjang pantai bagi mengelak air pasang besar yang akan menyebabkan banjir di kawasan persisiran pantai.
"Suasana akan menjadi lebih buruk sekiranya pada masa sama air sungai itu tinggi disebabkan hujan lebat, jadi air sungai tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung dengan air laut yang tinggi, menyebabkan berlakunya pertembungan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya.
Terdahulu, JPS melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari bermula Isnin hingga Rabu melibatkan kawasan berisiko tinggi termasuk Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk di Perak, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.— Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram