Warga India maut ditikam ketika bergaduh di Port Dickson


  • 112
  • Isnin, 03 Jan 2022

MANGSA ditikam menggunakan sebilah pisau berukuran 30 sentimeter dan disahkan meninggal dunia. — The Star

INSIDEN pergaduhan bertukar tragedi apabila seorang lelaki warga India maut dipercayai ditikam rakan serumahnya di Taman Happy Jalan Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson Supritendan Aidi Sham Mohamed, polis menerima maklumat mengenai insiden berkenaan pada pukul 2.30 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa, seorang pekerja am berusia 22 tahun bersama-sama rakannya warga Pakistan, 26, menikmati minuman keras di dalam bilik suspek di bahagian atas rumah kira-kira 12.30 tengah malam sebelum berlaku pertengkaran mulut dipercayai selepas mangsa menyatakan meminati adik lelaki itu.

"Pergaduhan itu menyebabkan mangsa ditikam menggunakan sebilah pisau berukuran 30 sentimeter dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di bahagian dapur di tingkat bawah pada pukul 1.50 pagi," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya lagi, susulan kejadian itu, lelaki yang juga rakan sekerja mangsa itu ditahan selain pakaian, telefon bimbit dan pisau yang digunakan untuk menikam mangsa dirampas.

Aidi Sham berkata pihaknya difahamkan mangsa baru setahun bekerja di sebuah kilang di Port Dickson.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat manakala suspek direman tujuh hari mulai Isnin (3 Januari 2021).

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram