Tiga suspek ditahan berkait kes bunuh di Jalan Ampang


  • 112
  • Jumaat, 31 Dis 2021

SOAL siasat ke atas kedua-dua suspek pertama membawa kepada penahanan suspek utama, seorang lelaki warganegara berusia 33 tahun. — Gambar hiasan/ The Star

POLIS menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes pukul hingga menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 55 tahun dalam kejadian di Jalan, Ampang, Kuala Lumpur pada 29 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner Saiful Anuar Yusoff berkata, mangsa ditemui terbaring dan tidak sedarkan dalam keadaan kepala berdarah kira-kira pukul 1.03 pagi di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut telah meninggal dunia.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati ada saksi melihat si mati dipukul oleh tiga lelaki warganegara pada 28 Disember 2021, kira-kira jam 6 petang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Saiful Anuar berkata, dua lelaki warganegara berusia antara 28 tahun hingga 32 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh tersebut.

Katanya, soal siasat ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan suspek utama, seorang lelaki warganegara berusia 33 tahun.

"Dua suspek pertama itu direman hingga 5 Januari manakala suspek ketiga direman hingga Jumaat," katanya sambil memberitahu, motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram