Lelaki Pasir Mas korban keempat mangsa banjir di Kelantan


  • 112
  • Jumaat, 31 Dis 2021

PIHAK polis menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.20 petang tadi daripada abang mangsa yang mengatakan adiknya lemas. — Awani

SEORANG lelaki berusia 46 tahun menjadi korban keempat banjir yang melanda Kelantan sejak 17 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Polis, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mangsa keempat itu dikenali sebagai Mohd Razi Jaafar yang ditemukan lemas pada pukul 5.30 petang tadi selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Lubok Jong dekat Kampung Serongga, Pasir Mas.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.20 petang tadi daripada abang mangsa yang mengatakan adiknya lemas.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa telah menjumpai mangsa di celah akar pokok di tebing sungai iaitu empat kilometer dari rumahnya.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram