Dua beradik mangsa bot karam Tawau ditemui, seorang lagi masih hilang


  • 112
  • Ahad, 02 Jan 2022

SEORANG lagi mangsa dikenali Rahena, 20, masih belum ditemui setakat ini. — Sinar Harian

DUA daripada tiga beradik yang menjadi mangsa bot karam di perairan Batu Payung di Tawau, Sabah ditemui lemas oleh penduduk kampung pada awal pagi Ahad.

Mayat, Jaidi Muhaimin, 5, ditemui terdampar di pesisir pantai pada jam 6.30 pagi, manakala abangnya, Saiful, 15, ditemui terapung di perairan Tinagat pada jam 8.58 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga beradik dimulakan kira-kira jam 6.30 pagi.

"Dua mangsa sudah dijumpai pagi tadi dalam keadaan terapung dan seorang lagi di pesisir pantai. Kedua-dua mayat dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

"Seorang lagi mangsa dikenali Rahena, 20, masih belum ditemui setakat ini dan operasi mencari diteruskan," katanya.

Julius berkata, operasi SAR mangsa melibatkan lima anggota dari BBP Tawau serta dibantu pelbagai agensi penyelamat dan penduduk kampung.

"Operasi mencari mangsa masih dilakukan dengan bantuan pelbagai pihak membabitkan 30 anggota termasuk daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung.

"Jumlah keseluruhan aset untuk mencari mangsa adalah sebanyak 24 bot termasuk empat dari agensi pasukan penyelamat, manakala 20 bot lagi daripada penduduk kampung sendiri," katanya.

Terdahulu, berlaku kejadian bot karam yang dinaiki sembilan individu ketika dalam perjalanan berpatah balik dari Batu 4 Kampung Rawa-Rawa ke Kampung Batu Payung, di Tawau pada Sabtu.

Dalam kejadian itu, enam mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung dan tiga beradik dilaporkan hilang. —Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

lemas, bot, karam, tawau, tiga beradik