Henti tuduh menuduh, tuding jari ketika kendalikan bencana


  • Massa
  • Selasa, 04 Jan 2022

MASIH ramai mangsa banjir yang trauma dengan bencana itu.

SIKAP tuduh menuduh, menuding jari di antara kerajaan pusat dan negeri sama ada disebabkan perbezaan ideologi politik mesti dihentikan dalam mengendalikan bencana negara, kata Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas itu berkata, pengendalian bencana banjir masih belum berakhir kerana sikap saling menuduh pihak yang bersalah sepatutnya tidak berlaku untuk masa sekarang.

Malah tegasnya sikap itu juga tidak wajar diulangi pada masa depan.

"Setelah dua minggu bencana, masih ramai mangsa banjir yang belum dapat memulakan kehidupan mereka seperti sedia kala kerana rumah mereka masih berselut, bahkan lumpur telah pun keras membeku.

"Masih ramai dalam kalangan mereka yang 'trauma' dengan kejadian yang mencemaskan berlaku di kediaman masing-masing dan berusaha untuk kembali pulih," katanya di hantaran rasmi media sosial Facebooknya.

Beliau juga berkata, banjir yang melanda itu telah menyebabkan sebilangan keluarga kehilangan aset dan barang keperluan asas terutamanya yang berpendapatan rendah dan jika dianggarkan sebanyak 50,000 kenderaan yang rosak akibat banjir.

"Berapa ramai yang boleh menggunakan semua harta itu kembali seperti sediakala setelah menerima bantuan RM1,000 atau RM2,000.

"Musim persekolahan bakal dibuka. Bagaimanakah ribuan keluarga mangsa banjir akan berhadapan dengan persiapan ini? Dengan hujan masih lagi turun di banyak tempat di seluruh negara, dan banjir masih dan dijangkakan akan berlaku di beberapa negeri khususnya di pantai timur," katanya.

Berdasarkan laporan media, ribuan pelajar sekolah dilaporkan menjadi mangsa banjir pada beberapa minggu lalu dan mereka ditempatkan bersama keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) di semua negeri yang terkesan dengan bencana alam itu.

Zainur Rashis berpendapat, koordinasi dan penyelarasan banjir perlu ditambahbaik dengan segera, khususnya ketika menghadapi musim banjir pada baru-baru ini yang mana sampai sekarang masih belum sampai ke penghujungnya.

"Punca banjir, atau sebab-sebab kemudaratan yang disebabkan kerosakan alam oleh tangan-tangan manusia mesti dihentikan dan ditangani secara telus dan serius tanpa bertangguh," katanya mengulas tentang bencana yang menimpa negara.

"Sebagai manusia kita mesti berusaha meningkatkan kesiapsagaan, bersedia untuk menyumbang atau turun membantu, bermuhasabah dan bermunajat kepada-Nya agar dijauhi daripada musibah sebegini di masa depan.

Menurutnya, sumbangan rakyat Malaysia dalam mengendalikan bantuan bencana banjir khususnya dalam kalangan ribuan sukarelawan, badan bukan kerajaan dan individu penderma serta anggota agensi pengendalian bencana amat dirasai kebersamaannya.

"Kerjasama sebegini mesti dipupuk dan disuburkan untuk hari-hari dan tahun-tahun berikutnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram