SUSULAN kerosakan kecil ban Labohan Dagang dan ban di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang, rata-rata penduduk di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat di Sepang, Selangor menyuarakan bimbang dengan kemungkinan berdepan dengan musibah banjir besar sekali lagi.
Seorang penduduk di RTB Bukit Changgang, Mohd Rosli Adzruan, 45, berkata selepas mendengar daripada jirannya yang mengatakan ban di kawasan itu telah pecah, beliau terus berwaspada dan bersiap sedia sekiranya air mula memasuki rumah.
"Saya terus minta keluarga saya untuk mengemas pakaian kerana takut air mula naik dan banjir lagi sekali tetapi Allamdulilah setakat ini tiada apa-apa petanda,” katanya.
Beliau yang bekerja sebagai buruh berkata rumahnya yang dinaiki air minggu lepas masih belum dibersihkan sepenuhnya, dan sekarang mereka sekeluarga terpaksa berhadapan dengan kemungkinan banjir sekali lagi.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor Mohd Nazri Yasmin sebelum ini dilaporkan berkata dua ban yang didakwa pecah, sebenarnya hanya mengalami kerosakan kecil dan pihaknya selesai membaiki kerosakan ban di Labohan Dagang manakala kerja pembaikan ban di RTB Bukit Changgang dijangka selesai petang ini.
Kuala Langat adalah antara kawasan di Selangor yang diminta berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula Ahad.
Bagi Adilah Matsapar, 29, insiden ban pecah dan fenomena air pasang besar telah membuatkan dirinya risau dan tidak dapat tidur sejak semalam.
"Saya memang trauma. Hari itu pun sekejap sahaja air naik sampai paras dagu dari paras lutut. Jadi, saya memang trauma sangat lagi-lagi setiap hari hujan sejak kelmarin,” katanya.
Sementara itu tinjauan Bernama di Taman Baiduri, Dengkil di sini pula mendapati banjir yang berlaku awal pagi tadi telah semakin pulih sekitar tengah hari, namun rata-rata penduduk yang gigih membersikan kawasan rumah, jelas tidak dapat menyembunyikan rasa gelisah dengan kemungkinan banjir boleh berlaku pada bila-bila masa.
Pesara Tyat Wah Wah, 76, berkata beliau bersama anggota keluarganya terpaksa bersengkang mata untuk menyelamatkan dokumen dan barangan penting daripada dirosakkan air yang naik sehingga paras kira-kira 0.3 meter awal pagi tadi.
"Sebelum ini (banjir 18 Disember 2021), air naik setinggi kira-kira lapan kaki (2.4 meter), kami masing-masing selamatkan diri ke tingkat atas rumah, kali ini tidak teruk tapi penat kena cuci semua balik,” katanya.
Sementara itu Supianto Ibrahim, 39, berkata kawasan perumahan itu sememangnya sering dilanda banjir berikutan lokasinya yang berhampiran sungai, namun banjir pada 18 Dis lepas adalah yang paling teruk pernah berlaku.
Katanya beliau dan keluarga baru sahaja selesai mencuci dan menjemur barangan yang terjejas sebelum ini, namun banjir yang berulang dalam tempoh kurang tiga minggu menyebabkan beliau berfikir panjang untuk mengulangi proses itu.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Awang pula meluahkan rasa kecewa kerana siren amaran banjir berhampiran kawasan itu sudah lama tidak berfungsi.
"Semasa banjir tiada bunyi siren, kalau tahu awal mungkin kami dapat lebih bersedia walaupun kami sudah biasa dengan situasi banjir di sini. Harap pihak berwajib dapat membaikinya secepat mungkin,” katanya.
Azlina Jamhari, 43, suri rumah di Kampung Sungai Nangka, Kuala Langat berkata beliau bersama enam ahli keluarganya terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan rumah mereka dinaiki air lagi malam tadi.
"Kawasan rumah saya memang antara yang paling akhir akan dinaiki air, kalau naik air pun sekitar paras buku lali hingga ke lutut sahaja. Namun, memikirkan kejadian pada 17 Disember 2021 apabila air naik sangat cepat, kami sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah.
"Alhamdulillah kerosakan yang dialami ketika banjir tempoh hari tidak begitu teruk kerana banyak barang penting sudah diletakkan di tempat tinggi, tetapi sekarang ni dengar bunyi kilat dan hujan yang berlarutan sejak dua hari lepas sudah buat saya tidak lena tidur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS Balai Raya MPKK Kampung Banting, hari ini.
Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Banting Azhar Borham, 61, berkata pejabat daerah telah mengarahkan untuk membuka PPS itu pada kira-kira pukul 9 malam tadi, bagi menempatkan 15 mangsa banjir daripada enam keluarga dari Kampung Sungai Nangka.
Katanya walaupun air telah surut dan kemungkinan penduduk akan dibenarkan pulang ke rumah, pihaknya telah diarah untuk terus bersiap siaga sehingga 9 Jan bagi membantu kelancaran operasi PPS khususnya jika berlaku lagi pemindahan mangsa banjir.
Terdahulu tinjauan Bernama di sekitar Kampung Sungai Nangka mendapati air banjir setinggi kira-kira 0.6 meter di beberapa rumah penduduk malam tadi, mulai surut namun masih terdapat halaman rumah yang digenangi air. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram