Jumlah kes Covid-19 menurun, catat angka 2,690 kes


  • Primer
  • Isnin, 03 Jan 2022

ANGKA itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bertambah kepada 2,767,044 kes. — The Star

MALAYSIA mencatatkan penurunan bagi kes baharu positif Covid-19 pada Isnin dengan angka kes sebanyak 2,690 kes berbanding 2,882 kes dilaporkan pada Ahad.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bertambah kepada 2,767,044 kes.

"Daripada jumlah kes baharu itu, 52 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua.

"Sebanyak 265 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 147 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin

Tambah beliau lagi, bagi kes sembuh, sebanyak 3,535 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih ialah 2,695,751 manakala tiga kluster baharu dilaporkan dengan jumlah kluster aktif sebanyak 206.

Jelasnya, terdapat peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 sebanyak 2.3 peratus atau 23,071 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-52 (26 Dis 2021 hingga 1 Jan 2022), berbanding 22,554 kes pada ME ke-51, setelah penurunan kes dicatatkan lima minggu berturut-turut sejak ME ke-46.

"Purata kes aktif sebaliknya mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus dengan purata 40,963 kes pada ME ke-52, selain penurunan kes kematian sebanyak 18.2 peratus dan kes memerlukan rawatan di ICU turut menurun 18 peratus," ujarnya.

Noor Hisham turut berkata, mengenai situasi semasa bencana banjir, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir ialah 461 iaitu pertambahan satu kes baharu setakat 3 petang Isnin.

Hurainya lagi, sebanyak 39 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir terdiri daripada 33 kes penyakit Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI), penyakit kulit (empat) dan Gastroenteritis Akut (AGE) (dua) — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

covid-19, kes harian, , menurun, noor hisham