Tip lembutkan hati yang keras


  • Mukmin
  • Isnin, 03 Jan 2022

MEMBERI fakir miskin makan dan mengusap kepala anak yatim boleh lembutkan hati yang keras sebagaimana sabda Nabi SAW. — Gambar hiasan

MENYINGKAP tirai 2022, pastinya banyak perkara sepanjang 2021 yang perlu diperbaiki diri untuk kehidupan mendatang dengan lebih cemerlang, salah satunya melembutkan hati yang keras.

Antara penyakit yang sangat membinasakan manusia di dunia mahupun di akhirat ialah penyakit keras hati sebagaimana dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud:"Dalam hati mereka ada penyakit maka ditambah lagi penyakitnya oleh ALLAH." [Al-Baqarah: 10]

Jadi berhati-hatilah dengan hati yang keras kerana penyakit itu akan membawa kepada dengki dengan orang lain dan seterusnya perbuatan syirik kepada ALLAH SWT.

Namun begitu, hati yang keras pun boleh dilembutkan sebagaimana apa yang dikatakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ahmad Sanusi Azmi di laman Telegramnya.

Sanusi berkata, memberi makan kepada orang yang susah akan membantu melembutkan hati yang keras sebagaimana yang dikatakan oleh Sheikh Mula Ali al-Qari bahawa amalan membantu orang yang susah ini akan mengingatkan manusia tentang nikmat yang telah dikurniakan oleh ALLAH kepada hambanya.

"Kata Sheikh Mula Ali al-Qari: "Dan memberi makan kepada orang yang miskin itu supaya engkau melihat nikmat-nikmat kurniaan ALLAH yang telah memberikan kesenangan dalam hidupmu, supaya (melihat kesusahan orang lain ini) akan melembutkan hatimu dan menghilangkan kekerasannya.” [Mirqah al-Mafatih]

Rasulullah turut pernah mengingatkan para sahabat agar melihat kesusahan orang yang berada disekeliling kerana tindakan itu akan membantu mengingatkan kepada diri seseorang dengan nikmat yang telah ALLAH limpahkan dalam kehidupan.

Sabda Rasulullah: “Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (yang kaya dan mewah). Perkara itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat ALLAH padamu.” [HR al-Tirmizi]

Timbalan Dekan itu juga berkata, dengan mengusap kepala anak yatim akan membantu melembutkan hati yang keras sebagaimana sabda Nabi SAW: "Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah mengadu tentang hatinya yang keras. Lalu Rasulullah berpesan kepadanya: “Sekiranya engkau ingin melembutkan hatimu, maka berilah makan pada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.” [HR Ahmad]

Sanusi menambah, dengan mengusap kepada anak yatim mengingatkan diri seseorang tentang kematian yang pasti akan datang menjemput.

"Kita mungkin beruntung dipanjangkan usia oleh ALLAH tetapi ingatlah, ada orang di sekeliling kita yang telah pergi, meninggalkan anak-anak mereka. Mengingatkan kepada kita tanggungjawab kita agar saling membantu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram