WOW mahu ubah persepsi terhadap penunggang basikal wanita


WOW mahu mendidik wanita supaya mengutamakan keselamatan ketika berbasikal. — Bernama

SEBAGAI platform untuk mendidik kaum hawa mengenai aspek keselamatan serta teknik kayuhan yang betul, ’Women On Wheels’ (WOW) kini mempunyai 50 orang peserta yang giat menyertai aktiviti mengayuh basikal untuk memperkasa serta membina keyakinan diri.

Diilhamkan oleh seorang anggota kumpulan basikal Speedzone, Rosmawar Haron, 50, WOW menganjurkan kayuhan pertama pada November 2020 di sekitar Putrajaya dengan jarak kira-kira lebih 50 kilometer.

Menurut Rosmawar, ilham WOW pada mulanya dikongsikan rakan beliau, juga seorang anggota Speedzone dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang ramai tentang kebaikan dan peranan konsep WOW.

“Aktiviti kayuhan WOW juga bertujuan meningkatkan kesedaran serta kepentingan keselamatan ketika berkayuh di jalan raya serta mewujudkan kesedaran bahawa aktiviti berbasikal harus dilakukan secara berkumpulan demi keselamatan diri.



AKTIVITI kayuhan WOW bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan ketika berkayuh. — Bernama

"Kayuhan yang dianjurkan buat kali kedua ini lebih memberi fokus kepada kaum wanita tidak mengira umur untuk bersama-sama menjalankan aktiviti sihat ini secara selamat selain merapatkan silaturahim antara satu sama lain dan komuniti.

“Selain itu, kayuhan ini juga membawa kesedaran tentang norma baharu terutama ketika melakukan aktiviti dalam kumpulan," katanya.

Pastikan keselamatan

Setiap kayuhan WOW membawa semangat "No Vac (Vaccine), No Ride" dan aplikasi MySejahtera peserta akan diperiksa bagi memastikan mereka lengkap menerima vaksin serta bukan dikategori sebagai kontak rapat atau kasual.

Menurut Rosmawar, pemeriksaan itu adalah bagi memastikan setiap peserta yakin dan selamat tentang acara bersukan kayuhan basikal dalam ketika pandemik Covid-19 masih berterusan.

Sebelum ini, pelbagai program kayuhan dianjurkan oleh Speedzone namun kayuhan WOW khusus untuk kaum hawa ini dicetuskan untuk memperkasakan wanita serta saling bertukar pengalaman antara pengayuh berpengalaman mahupun baru berjinak dalam sukan ini supaya berkayuh di atas jalan raya secara selamat, displin dan betul.



ROSMAWAR akui WOW juga diwujudkan selepas pengayuh basikal sering dikecam pengguna jalan raya. — Bernama

Rosmawar yang aktif berbasikal sejak tahun 2015 berkata, WOW adalah inisiatif ekoran insiden pengayuh basikal sering dikecam pengguna jalan raya yang lain kerana dikatakan menghalang lalu lintas, tidak mematuhi peraturan jalan raya terutama melanggar lampu isyarat dan berkayuh secara berbahaya di atas jalan raya.

"Jadi tujuan WOW adalah menerapkan aspek keselamatan kepada semua pengayuh basikal supaya bukan sahaja diri mereka selamat tetapi juga pengguna jalan raya yang lain. Perlu ada sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain ketika berkayuh di atas jalan raya kerana semua tidak kira yang mengayuh basikal atau memandu kereta juga adalah pengguna jalan raya," katanya.

Menurut Rosmawar, mesej yang juga ingin disampaikan oleh WOW ialah untuk mengubah persepsi masyarakat tentang pakaian kaum hawa ketika berbasikal yang sering dikatakan menjolok mata sambil menjelaskan setiap sukan ada pakaian tersendiri mengikut kesesuaian.

"Contoh pemakaian tracksuit yang longgar ada masalah jika tersangkut ketika berkayuh dan ia akan menyebabkan kemalangan bukan sahaja pada diri sendiri malah kepada pengayuh dan pengguna jalan raya yang lain.

“Pakaian ketat menjolok mata itu tanggapan setiap orang yang mungkin tidak akan faham keperluan itu jika mereka sendiri tidak terlibat dalam sukan tersebut.

"Pengayuh itu sendiri akan tahu aspek keselamatan dari segi pemakaian bukan sebab mereka suka berpakaian sebegini," katanya.

Seorang peserta kayuhan WOW, Mazenah Mahat, 65, berkata, konsep WOW ini diharap dapat mengubah persepsi masyarakat tentang pengayuh wanita terutama daripada segi pakaian.

Berkongsi pengalaman ketika mengayuh basikal dalam pakaian yang kurang sesuai, beliau yang lebih mesra dengan panggilan ibu, berkata ketika berkayuh di Jitra dengan tudung labuh yang hampir menyebabkan kemalangan.

“Tudung itu menutup muka ibu ketika lori lalu dan sejak itu ibu bertukar kepada pemakaian yang lebih sesuai.

“Ibu minta nasihat daripada anak perempuan ibu yang juga seorang ustazah tentang pemakaian ketika berbasikal. Anak saya kata yang penting leher saya tertutup dan perlu berpakaian sesuai demi keselamatan," katanya yang mula berkayuh sejak setahun lalu.

Bagi Mazenah, WOW dapat meningkatkan keyakinan kaum hawa terutama golongan warga emas yang ingin mencuba sukan ini tetapi masih ragu-ragu akan kemampuan masing-masing.



DIDIE Aziz menasihatkan semua pengayuh basikal supaya mempelajari teknik ketika berkayuh dalam satu kelompok. — Bernama

Sementara itu, Didie Aziz, 43 pula berkata, WOW memberi pendedahan awal kepada pengayuh khusus kaum wanita tentang disiplin, keselamatan serta sentiasa fokus ketika mengayuh di atas jalan raya serta membina keyakinan di kalangan wanita melalui aktiviti berbasikal.

"Pengayuh sama ada berpengalaman atau yang baru berjinak perlu ada teknik yang betul seperti semasa menukar laluan, isyarat tangan demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Pengayuh perlu tahu teknik ketika berkayuh dalam peloton (kelompok pengayuh) contohnya perlu ada barisan teratur dalam jarak selamat dan kawal kelajuan. Dari situ kita boleh membina keyakinan peserta," katanya.

Beliau yang juga jurulatih kelab mengayuh basikal Allez, berkata matlamat WOW amat sesuai dan bertepatan kerana mahu menerapkan nilai keselamatan, displin, fokus serta keyakinan ketika berbasikal. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

inspirasi, basikal, wanita, wow, pakaian, keselamatan