Suspek samun, larikan dua basikal di Ampang ada rekod jenayah seksual


  • 112
  • Ahad, 02 Jan 2022

KESEMUA suspek juga disyaki terlibat dengan kes jenayah melarikan dua buah basikal sebelum ini.

LIMA lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes samun berkawan serta melarikan dua basikal di tepi Jalan Wawasan Bandar Baru Ampang, Selangor pada 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 23 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Ampang pada Khamis.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Preve berwarna biru yang disyaki digunakan ketika kejadian.

"Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes seksual," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamad Farouk berkata, dalam kejadian pada jam 1 pagi, mangsa pemegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) yang juga pelayan restoran bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja dengan menunggang dua buah basikal.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta menghalang laluan mereka sebelum kesemua suspek merampas dompet mangsa yang mengandungi wang tunai RM100 serta dua buah basikal," katanya.

Menurutnya, mangsa cuba melarikan diri namun suspek telah menendang mangsa sehingga terjatuh dan cedera di tapak tangan.

"Kesemua suspek telah ditahan reman lima hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jenayah, samun, ampang, ditahan, polis