Bimbang dicekup, penagih campak ratusan pil kuda di Rantau Panjang


  • 112
  • Ahad, 02 Jan 2022

SUSPEK bertindak melarikan diri dan mencampakkan beg sandang yang ada padanya selepas meilhat anggota PGA.— Sinar Harian

SEORANG lelaki bertindak mencampakkan beg sandang yang mengandungi dadah bagi mengelakkan diri dicekup oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, suspek berusia 26 tahun itu dicekup semasa pihaknya melakukan rondaan di Kampung Kedai Lama, di Rantau Panjang, Kelantan.

"Semasa rondaan dilakukan sekitar jam 5 petang anggota PGA telah bertindak menghampiri suspek yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan," katanya di Rantau Panjang, Kelantan pada Ahad.

Menurutnya, sejurus melihat kehadiran anggota PGA suspek telah bertindak melarikan diri dan mencampakkan beg sandang yang ada padanya.

Beliau berkata, usaha suspek untuk meloloskan diri gagal apabila dia berjaya dicekup oleh anggota bertugas dan pemeriksaan yang dilakukan ke atas beg itu membawa kepada penemuan 126 biji pil kuda bernilai RM1,260.

Azhari berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

dadah, pga, kuantan, lelaki, rantau panjang