Kelab lama cuba 'sailang' The Red Warriors dapatkan semula Matyo


  • Podium
  • Ahad, 02 Jan 2022

MATYO (kiri) disebut-sebut kembali semula ke pangkuan pasukan lamanya dalam aksi Liga M musim depan. — The Star

BEKAS penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha kini difahamkan dalam rundingan untuk kembali ke pangkuan The Red Warriors (TRW) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2022.

Ini selepas Sarawak United mengesahkan Norshahrul atau Matyo tidak lagi bersama skuad yang terkenal dengan jolokan Ngap Sayot itu selepas bersama selama semusim.

Pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam, menerusi satu ciapan pada Sabtu menyatakan bahawa Matyo masih dalam sesi rundingan untuk kembali ke pangkuan Kelantan FC.

zul twit

CIAPAN Zulhelmi mengenai perpindahan Matyo ke Kelantan. — Twitter

Pemain berusia 35 tahun yang bermain di posisi sayap itu berjaya membantu pasukan Sarawak United menjadi naib juara Liga Premier bagi musim 2021.

Beliau berjaya mencetak empat gol dalam 15 penampilan bersama pasukan The Golden Hornbills itu.

Majoriti sebelum ini pernah melaporkan, Matyo juga berkemungkinan kembali ke pangkuan Johor Darul Takzim (JDT), namun desas-desus itu belum cukup kuat atas faktor usia penyerang itu yang tidak lagi berada dalam perancangan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menghadapi saingan Piala AFF 2021 di Singapura kali ini.

Selain Kelantan FC dan JDT, Matyo juga pernah beraksi bersama beberapa pasukan iaitu Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang.

Tidak mustahil ada di antara kelab-kelab berkenaan yang sanggup menggandakan tawaran demi mendapatkan khidmat pemain yang berasal dari Terengganu itu termasuk JDT yang dilihat mampu dari segi kewangan.

Sebelum ini, Matyo pernah mencipta nama bersama Kelantan selepas berjaya membantu skuad TRW muncul gergasi bola sepak negara beberapa tahun lalu termasuk merangkul kejuaraan 'treble' pada 2012. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram