Angka harian Covid-19 turun, catat 2,882 kes baharu


  • Primer
  • Ahad, 02 Jan 2022

KES Covid-19 di Malaysia pada Ahad berada di bawah paras 3,000 kes. — The Star

KES positif baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini menunjukkan pengurangan apabila sebanyak 2,882 kes dilaporkan pada Ahad.

Kali terakhir negara merekodkan jumlah kes Covid-19 bawah 3,000 adalah pada 28 Disember tahun lepas dengan 2,897 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah tersebut menjadikan kes terkumpul setakat ini di Malaysia adalah sebanyak 2,764,354 kes.

"Daripada jumlah kes baharu itu, 49 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

"Sebanyak 284 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 156 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, bagi kes sembuh pula, sebanyak 3,291 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih ialah 2,692,216.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 172 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan bagi tempoh 25 Disember 2021 hingga 2 Januari 2022, dengan 170 kes baharu varian Delta dan dua kes baharu varian Omicron.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 5,480 kes,” katanya.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak sembilan kes baharu Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan jumlah keseluruhan 460 kes setakat ini.

Sementara itu, sebanyak 63 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir melibatkan penyakit Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) (42 kes), penyakit kulit (10) dan Gastroenteritis Akut (AGE) (11). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram